Bulan's connection

Saturday, April 28, 2012

99 ORANG DIBUNUH, MASIH ADAKAH PENGAMPUNAN ALLAH?








Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, telah disebutkan bahawa suatu kisah dalam kalangan kaum Bani Israel, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang manusia. Lelaki ini tekah berlumuran darah, jari-jemarinya, pakaiannya, tangan serta pedanganya, kesemuanya sudah basah dengan darah kerana dia telah membunuh 99 orang manusia yang tidak berdosa. Sedangkan jikalau penduduk bumi dan langit itu bersatu lalu membunuh seorang muslim maka ALLAH SWT akan mencampakkan mereka semuanya dengan muka ke bawah ke dalam api neraka,apatah lagi lelaki ini yang sangat kejam, jahat dan telah membunuh 99 orang manusia yang tidak berdosa.  

Lelaki itu yang telah banyak melakukan kejahatan itu akhirnya tersedar akan kesalahannya terhadap ALLAH SWT, lalu dia terfikir akan suatu masa nanti dia akan diminta oleh ALLAH untuk diminta bertanggungjawab ke atas setiap dosa-dosanya itu. Dia yakin bahawa tiada siapa yang mampu mengampuni dosanya, menghukumnya, menghisab amalannya kecuali ALLAH SWT. Kemudian diapun befikir untuk kembali bertaubat kepadaNYA agar ALLAH  membebaskannya dari siksaan api neraka.  Fikirnya, seorang raja itu apabila hambanya telah beruban (besar dan tua) akan dimerdekakan dengan cara yang baik inikan pula engkau, wahai pencipta yang jauh lebih pemurah daripada raja itu. Sungguh aku telah beruban dalam menghambakan diriku maka KAU bebaskanlah aku dari api nerakaMU ... 


Maka, dengan pakaiannya yang berlumuran dengan darah mangsa yang dibunuhnya, lelaki itu berjalan bagaikan orang yang mabuk, terkejut lagi ketakutan seraya bertanya-tanya kepada semua orang
"Apakah aku masih mampu diampuni??"

 Orang-orang yang ditanya itu lantas berkata kepadanya
"Kami akan menunjukkan kepadamu ada seorang rahib yang tinggal di sebuah kuil, jadi sebaiknya kamu pergi ke sana dan tanyakanlah kepadanya apakah engkau masih boleh diampuni"

Namun, menyedari bahawa tiada siapa yang dapat memberikan penjelasan dalam masalahnya itu, kecuali orang-orang yang tahu tentang hukum ALLAH, lalu lelaki itupun pergilah ke kuil rahib tersebut, seorang ahli ibadah dalam kalangan kaum Bani Israel. Rahib itu hanya melakukan ibadah sahaja dengan cara yang dibuatnya sendiri tanpa ada dalil, atau syariat mahupun agama. 

Dan lelaki yang telah membunuh sebanyak 99 orang manusia itupun pergilah ke kuil itu dengan langkah yang sangat pantas dan penuh penyesalan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukannya itu . Sesampai sahaja di kuil terus saja dia mengetuk pintu kuil si rahib tersebut. Rahib itu adalah seorang yang mengharamkan dirinya untuk memakan daging, makanan-makanan yang enak, pakaian yang cantik dan berkahwin sedangkan ALLAH tidak mengharamkan semua itu ke atas hambaNYA, tetapi rahib itu melakukan hal tersebut kerana kejahilannya tentang maksud ALLAH SWT. Apabila pintu kuilnya diketuk berulang kali lalu si rahib itupun keluar menyambut tetamunya itu. Lelaki itupun masuk dan keadaannya yang berlumuran darah menyebabkan si rahib terpana dan terkejut bukan kepalang lalu si rahib itu terus berkata 
"Aku berlindung kepada ALLAH dari kejahatanmu"

Sebenarnya, sambutan itu jelas menunjukkan itu bukanlah cara yang betul untuk menyambut tetamu sebagaimana yang digunakan oleh para ulama dan para da'i yang berkehendakkan hidayah ALLAH. Sesungguhnya pintu taubat ALLAH sentiasa terbuka, pemberianNYA sentiasa datang dan pergi, pahalaNYA sentiasa dianugerahkan, tangan kekuasaanNYA sentiasa terbuka pada malam hari untuk menerima taubat orang-orang yang berdosa pada siang harinya dan sentiasa terbuka pada siang hari untuk menerima taubat orang-orang yang berdosa pada malam harinya, hinggalah matahari itu terbit dari arah tenggelamnya
(Kiamat)

Lelaki itu lalu bertanya "Wahai rahib si ahli ibadah, aku telah membunuh 99 orang manusia, maka masih adakah jalan bagiku untuk bertaubat kepada ALLAH?"
Mendengar saja pertanyaan lelaki itu si rahib yang jahil itu dengan spontan menjawab
"Tiada taubat bagimu!!"
Maha suci ALLAH, apakah engkau menutup pintu yang selalu dibuka oleh ALLAH wahai si rahib? apakah engkau memutuskan tali yang telah diberikan oleh ALLAH, apakah engkau menghalang hujan yang telah diturunkan oleh ALLAH dan apakah engkau menutup jalan masuk yang telah dibuat oleh ALLAH itu padahal ALLAH lah yang telah menciptakan, menetapkan dan memberikan keampunan. ALLAH yang menghisab, ALLAHlah yang berbisik kepada hambaNYA pada hari yang tiada bermanfaat lagi harta benda dan anak-anak kecuali bagi orang yang menghadap ALLAH dengan hati yang bersih lalu ALLAH menyuruhnya mengakui dosa-dosanya, kemudian ALLAH mengampuninya jika DIA berkehendak. Maka, apakah urusanmu, hai si rahib hingga engkau masuk campur dalam urusan antara seorang hamba dengan tuhannya.Apakah engaku memang seorang yang sangat pakar dalam memberikan fatwa dalam masalah sebegini? Bukan, engkau bukanlah seorang yang pakar dalam bidang ini, dan hal ini hanya mampu diselesaikan oleh para ulama yang mengamalkan ilmuNYA dan mengetahui tujuan syariat ALLAH SWT.

Akhirnya, si pembunuh yang berputus asa itu, merasakan dunianya sangat gelap, kehendak dan tekadnya mulai terasa lemah, dan keindahan yang terlihat dihadapannya untuk bertaubat kelihatan seperti buruk, lalu diapun mengangkat pedangnya dan membunuh rahib itu sebagai balasan yang setimpal untuknya dan genaplah 1OO orang manusia yang telah dibunuhnya.

Kemudian, diapun keluar menemui orang-orang di luar dan bertanya kembali kepada mereka tentang hal yang sama, niatnya ketika itu hanya taubat dan kembali ke jalan ALLAH . Dia bertanya
"Masih adakah jalan untukku bertaubat?"
Dan orang-orang itu menjawab "Kami akan menunjukkan kamu kepada si fulan bin si fulan..seorang ulama, bukan seorang rahib, beliau sangat tahu dalam hukum ALLAH"
Apabila mendengar kata-kata itu lalu si pembunuh itupun pergilah menemui orang alim itu yang ketika itu sedang mengajar anak-anak mengaji. Orang alim itu tersenyum menyambut kedatangan lelaki itu, dia menyambut kedatangan lelaki itu dengan perasaan gembira dan mendudukkan lelaki itu disebelahnya setelah memeluk dan menghormati kedatangan tetamunya itu
"Apakah tujuan kamu datang ke mari?" Soalnya

Lelaki itu menjawab " Sesungguhnya aku telah membunuh 100 orang manusia yang tidak berdosa, maka masih adakah jalan taubta kepadaku?"
Dan orang alim itupun menjawab " Lalu siapakah yang menghalang antara kamu untuk bertaubat dan siapakah yang mencegahmu dari melakukan taubat? sesungguhnya pintu ALLAH itu terbuka luas untukmu, maka bergembiralah dengan keampunan, bergembiralah dengan perkenan dariNYA dan bergembiralah dengan taubatmu yang mulus"
Lelaki itu berkata " Aku mahu bertaubat dan memohon keampunan dari ALLAH"
Orang alim itupun berkata " Aku memohon kepada ALLAH semoga DIA menerima taubatmu" kemudian dia berkata lagi " Sesungguhnya, engkau tinggal di kampung yang jahat, sebahagian dari kampung dan kota itu memberikan kamu pengaruh yang jahat untuk melakukan kejahatan. Barang siapa yang lemah imannya di tempat seperti ini, maka ia akan mudah berbuat dosa dan akan terasa ringanlah baginya semua dosa serta senang baginya untuk melakukan perkara-perkara yang menentang suruhan ALLAH, sehinggalah ia terjerumus ke dalam kegelapan lembah dan jurang kesesatan. Akan tetapi apabila suatu masyarakat di dalam kampung yang jahat itu menegakkan amar maaruf dan nahi mungkar maka akan tertutuplah semua pintu kejahatan bagi para hamba"
Lelaki itu mendengar kata-kata orang alim itu
" Oleh kerana itu, maka keluarlah kamu dari kampung yang jahat itu menuju ke kampung yang baik,gantikanlah tempat tinggalmu dengan kampung yang baik dan bergaullah kamu dengan para pemuda yang soleh yang akan membantumu untuk bertaubat"
Mendengar kata-kata orang alim itu, si pembunuh itupun pergilah dengan  langkah yang cepat dan dengan hati yang gembira dengan berita yang harapannya itu. Bagaimanapun,ketika dia berada di tengah jalan, dia telah jatuh sakit dan sakaratul maut datang menjempuntnya. Ketiak sedang nazak itu dia sempat mengucapkan dua kalimah syahadah.
Sesungguhnya lelaki itu belum pernah solat, belum pernah berpuasa, belum pernah bersedekah, belum pernah mengeluarkan zakat, dan belum pernah mengerjakan kebaikan sama sekali tetapi dia kembali kepada ALLAH dengan bertaubat dan penuh penyesalan , pengharapan dan takut kepadNYA.

Sebaik saja lelaki itu menghembuskan nafasnya yang terakhir, maka datanglah malaikat rahmat dan malaikat azab untuk mengambil dan menerima nyawanya daripada malaikat maut yang mencabutnya.Dan ketika itu timbullah perselisihan , malaikat rahmat berkata "sesungguhnya, dia datang untuk bertaubat dan menghadap kepada ALLAH untuk menuju jalan kehidupan yang taat, kembali kepada ALLAH dan dilahirkan kembali melalui taubatnya. Oleh kerana itu, dia adalah bahagian kami"
Malaikat Azab pula berkata "sesungguhnya dia belum pernah melakukan suatu kebaikanpun, dia tidak pernah sujud, dia tidak pernah solat, tidak pernah mengeluarkan zakat, dan dia tidak pernah bersedekah, maka dengan alasan apakah dia hendak mendapat rahmat? bahkan dia termasuk dalam bahagian kami"
Lalu ALLAHpun mengirimkan malaikat yang lain dari langit untuk meleraikan perselisihan itu, kemudia malaikat yang baru diutus itupun pergilah kepada malaikat rahmat dan malaikat azab itu dan berkata
"Tahanlah oleh kalian, sesungguhnya penyelesaian masalah ini menurutku ialah hendaklah kalian bersama-sama mengukur jarak antara lelaki ini dengan tanah yang telah dia tinggalkan iaitu kampung yang jahat itu dan jaraknya antara kampung yang ditujunya iaitu kampung yang baik"
Dan ketika, mereka sedang sama-sama mengukur jarak itu ALLAH segera memerintahkan kepada kampung yang jahat untuk menjauh dan kepada kampung yang baik untuk mendekat.

Menurut hadis riwayat yang lain pula dikatakan sesungguhnya lelaki yang telah membunuh 100 orang ini telah menonjolkan dadanya ke arah kampung yang baik. Akhirnya para malaikat itu mendapati bahawa mayat lelaki itu lebih dekat kepada penduduk kampung baik dan mereka sebulat suara memutuskan bahawa lelaki itu adalah bahagian untuk malaikat rahmat dan malaikat rahmatpun mengambilnya untuk dimasukkan kedalam syurga.

SubhanALLAH sungguh besarnya pintu keampunanmu ya ALLAH, sesungguhnya engkaulah Tuhan yang maha pengampun lagi maha mengasihani hambaMU... 
*Kisah lelaki ini telah disebut dalam sahih Bukhari no.3395, sahih Muslim no.6957 dan sahih Ahmad no.10924*

No comments: